Sabtu, 11 Jun 2011

Pemimpin Perancis pula terlibat skandal seks

PARIS 30 Mei - Timbalan Menteri Perkhidmatan Awam Perancis, Georges Tron yang meletak jawatan semalam berikutan dakwaan melakukan serangan seksual ke atas dua wanita, memfailkan dakwaan fitnah terhadap wanita-wanita berkenaan.
Kerajaan pimpinan Presiden Nicolas Sarkozy, semalam dikejutkan dengan tindakan Tron mengumumkan peletakan jawatannya selepas beliau berhadapan siasatan berhubung dakwaan serangan seksual dan rogol yang dikemukakan dua pekerja wanita sebuah Dewan Perbandaran.
Surat peletakan jawatan timbalan menteri itu diserahkan kepada Presiden dan Perdana Menteri, Francois Fillon, semalam.
Dalam surat tersebut, Tron yang menyertai kerajaan Sarkozy pada Mac tahun lalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai 'tidak masuk akal' dan bersifat 'dendam peribadi' selepas beliau memecat dua wanita berkenaan.
Jelas beliau, seorang daripada wanita itu dipecat kerana menipu, sementara seorang lagi dibuang kerja kerana 'berkelakuan tidak senonoh'.
Peguam bekas timbalan menteri itu semalam turut menyifatkan wanita-wanita tersebut sebagai 'kaki pembohong'.
Dua wanita itu yang masing-masing berumur 34 dan 36 tahun dalam aduan mereka mendakwa, Tron telah melakukan serangan seksual terhadap mereka semasa bekerja di Dewan Perbandaran Draveil ketika beliau bertugas sebagai Datuk Bandar.
Insiden itu didakwa berlaku antara 2007 hingga 2010.
Pendedahan terbaru ini berlaku dua minggu selepas Perancis dikejutkan dengan penahanan bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Khan yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York. - Agensi

Signifikankah perjuangan Pas?

Kelahiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula pada tahun 1999 ternyata memberi kesan yang besar kepada kedudukan dan hala tuju perjuangan Pas.
Pas melihat PKR sebagai parti yang mendukung idealisme yang sama walhal PKR dibina di atas dasar rasa benci kepada kerajaan dan hanya untuk menukar kerajaan sedia ada sedangkan Pas ditubuhkan atas dasar Islam sebagaimana yang tercatat di dalam fasal 3 perlembagaan parti tersebut.
Oleh itu kedudukan Pas dan PKR sebenarnya jauh berbeza tetapi Pas tidak menyedari akan perkara ini kerana kehendak politik telah ternyata mengaburi segalanya.
Natijahnya melalui perseikatan dengan PKR jugalah maka Pas mulai menjalin hubungan politik dengan DAP - satu jalinan politik yang suatu ketika dahulu diilihat sebagai satu kesalahan dan dosa oleh Pas sebagaimana tercetusnya apa yang dikatakan sebagai amanat Hadi yang dibuat pada tahun 1979 di Banggol Peradong.
Selepas pilihan raya 2008, Pas dilihat mulai berada di kedudukan tersendiri dalam pentas politik negara dan dalam pakatan pembangkang.
PKR yang membawa wadah politik baru telah menyerapi teras perjuangan Pas. Tanpa disedari oleh ramai ahli, Pas sebenarnya telah membuat political alignments yang besar dalam sejarahnya.
Pas telah berubah hampir 360 darjah. Proses pemeringkatan kepemimpinan berlaku dengan ketara sekali sehingga menimbulkan dakwaan bahawa terdapat tangan-tangan ghaib daripada PKR telah berjaya membuat percaturan strategik parti itu.
Dalam hal ini, Pas mulai dilihat lebih mengutamakan politik pertentangan dan bukannya lagi politik penyelesaian. Teras perjuangan yang diilhamkan dan diasaskan oleh pemimpin terdahulu parti ini mulai dikesampingkan dengan meletakkan segala-galanya kepada politik.
Barangkali satu ujian daripada Allah SWT ke atas umat Islam di negara ini, satu persatu isu yang menyentuh tentang kesatuan umat Nabi Muhammad SAW telah muncul.
Antaranya ialah isu penggunaan kalimah Allah, isu pencemaran kesucian masjid, isu judi dan arak. Semua ini menuntut kepada keperluan kesatuan fikiran (wahdatul fiqr) sesama pemimpin beragama Islam dan pengikutnya.
Namun begitu ia tidak berlaku sebagaimana yang seharusnya. UMNO telah cuba mengetepikan citra politik mereka dengan berusaha duduk semeja dengan Pas bagi membincangkan isu-isu yang dianggap fundamental penting kepada orang Islam dan Melayu amnya.
Anehnya, Pas yang dikatakan mempunyai teras perjuangan yang bukan politik semata-mata tetapi juga agama telah menolak hasrat tersebut. Pandangan mufti atau alim ulama yang tidak berkepentingan politik akan perlunya perkara ini diteliti bersama dipandang sepi oleh Pas.
Penolakan dibuat keras atas dasar politik walhal, Perdana Menteri selaku Presiden UMNO tidak pernah meletakkan syarat bahawa orang Pas akan menjadi orang UMNO selepas perbincangan dijalankan.
Maknanya, perbincangan tentang keadaan dan situasi agama Islam di negara ini dibincangkan bukan atas platform politik.
Dalam hal inilah, Pas dilihat tidak sebagaimana Pas yang mempamerkan citra agama. Pas dilihat seolah-olah sama dengan tarian, lenggok dan permainan PKR.
Pas menjadi seolah-olah PKR kedua dalam pakatan pembangkang. Dengan erti kata lain Pas era pasca abad ke-21 bukan lagi Pas.
Perkara ini tidak disedari oleh ahli Pas kerana apa yang berlaku di peringkat makro seperti ini akan diulas dengan mesej yang berbeza di peringkat mikro ataupun di peringkat akar umbi.
Oleh itu, Pas tetap didokong oleh ahli kebanyakan dan pemimpin pertengahan parti tanpa banyak soal. Secara senyap juga para pengundi Melayu yakni rakyat majoriti negara ini mulai sedar akan hakikat dan keadaan ini.
Kekenduran semula rakyat Melayu memangkah parti itu semakin ketara yang dapat dilihat melalui pilihan raya kecil yang berlaku.
Sama ada ia disedari atau tidak oleh para pemimpin Pas, situasi ini seharusnya perlu dilihat dari aspek yang cukup strategik. Bedah siasat tanpa bias perlulah dilakukan sebelum terlewat sama ada tindakan menyelamatkan Pas perlu dibuat ataupun tidak.
Soalnya, kenapakah Pas menjadi begitu? Apakah Pas mengalami kerosakan karektor kerana parti ini berkawan dengan parti yang tidak sepatutnya mereka jadikan kawan sebagaimana pesan Nabi SAW, jika berkawan dengan si pemakai wangian, kita juga akan menerima kesan wanginya dan jika kita memilih berkawan dengan si pembuat besi maka kita juga akan menerima kesan bau tahi besinya.
Atau apakah benar sebagaimana dakwaan bahawa arkitek mutakhir Pas sekarang ini bukan lagi oleh orang tulen Pas? Arkitek yang membina Pas sekarang ini dilihat begitu leka mengubah itu dan ini demi untuk keuntungan politik jangka masa depan. Soalnya mereka ini siapa?
Untuk menentukan siapa mereka adalah satu persoalan yang begitu runcing dan sulit sekali bagaimanapun, jika dilihat kepada bayang-bayang Pas sekarang ini, adalah jelas bahawa bayang-bayangnya bukanlah bayangan bulan lagi.
Ini terbukti melalui pemerhatian politik yang citra parti itu sekarang ini telah jauh menyimpang.
Karektor parti itu juga telah jauh berubah terutamanya dari segi bagaimana mereka menguruskan perjalanan parti, bagaimana mereka merangka dasar baru parti dan juga bagaimana mereka menangani sesuatu isu yang timbul terutamanya yang melibatkan kepentingan bersama iaitu umat Islam.
Terbaru, Pas telah membuat pengumuman calon-calon yang layak bertanding untuk jawatan- jawatan utama parti. Sesuatu yang agak menarik untuk dianalisis ialah kemenangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti yang tanpa ditandingi oleh mana-mana pihak.
Sama ada ia berlaku akibat kerana ahli Pas menghormati beliau atas kapasisti kepimpinannya yang berteraskan kepada kumpulan ulama ataupun kerana tidak mahu memalukan beliau sebagai orang yang lama di dalam parti, itu bukanlah soal penting.
Yang penting sebenarnya bukanlah jawatan sebagai presiden parti. Yang penting bagi sesebuah parti politik ialah kumpulan berpengaruh.
Jika Abdul Hadi menjadi presiden tetapi di sekelilingnya adalah kelompok yang bukan daripada kumpulan atau pengaruhnya maka Parti akan bergerak dalam keadaan yang songsang.
Pengaruh mana yang kuat dalam Pas akan menentukan perjalanan dan landskap Pas untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Chua Soi Lek yang gagah atau gagal

Presiden PAS, Dato' Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula, mengajak kaum Tionghoa supaya melakukan perubahan bagi menggantikan Kerajaan Pusat daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Jelasnya, harapan kedua-dua pemimpin utama PAS ini terhadap kaum Tionghoa amat besar. Sekaligus kedua-dua pemimpin tertinggi PAS ini menunjukkan bahawa, PAS sebagai parti Islam dan Melayu yang utama di negara ini, mengiktiraf kepentingan dan peranan kaum Tionghoa dalam negara.

Peranan kaum Tionghoa atau kaum Cina amat penting dalam negara. Mereka adalah komponen masyarakat kedua terbesar dalam negara.

Sebagai kelompok pengundi kedua teramai dalam negara, kaum Cina merupakan penentu kuasa hampir separuh daripada sejumlah 222 kerusi Parlimen di Malaysia.

Kuasa penentu kaum Cina sudah ditunjukkan secara jelas pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, di mana sebelum ini secara tradisinya mereka yang mengundi BN, beralih arah ke Pakatan Rakyat.

Peralihan undi kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat tidak terlalu besar. Ia hanya sekitar 55 ke 65 peratus sahaja. Kecuali di sesetengah tempat yang dikuasai DAP, terdapat peningkatan yang drastik.

Peningkatan drastik undi kaum Cina kepada Pakatan Rakyat, yang paling tinggi direkod iaitu mencecah 85 peratus, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang di mana calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menewaskan calon BN.

Trend pengundian kaum Cina, berbeza dengan pengundi Melayu dan India. Berdasarkan beberapa PRK sebelum ini, berlaku peningkatan sekitar 3 hingga 5 peratus kaum Melayu, dan sekitar 10 peratus kaum India, kembali kepada BN.

Mengapa pengundi Melayu dan India, kembali kepada BN, boleh dibahaskan pada sesi lain. Apa pun penulis percaya kecenderungan wujud akibat kekangan dan tawaran material dari pihak BN.
Kecenderungan ini hanyalah faktor sementara yang tidak kuat untuk dijadikan alasan mutlak, bahawa Melayu dan India sudah kembali sepenuhnya menyokong BN.

Bagaimanapun, yang paling jelas, berdasarkan rekod terakhir PRK Dewan Undangan Negeri Tenang, Labis, Johor, menunjukkan bahawa pengundi Cina tetap bersama Pakatan Rakyat.

Itu pun terdapat kemerosotan pengundi Cina keluar mengundi. Kemungkinan berdasar banyak faktor, antaranya disebabkan terperangkap banjir dan kebanyakan mereka tidak balik mengundi.

Apa pun, keputusan keseluruhan pengundian ini menunjukkan trend pengundian kaum Cina sejak 2008 hingga 2011 kekal bersama Pakatan Rakyat, sekaligus menunjukkan Cina menolak BN.

Tanpa sebarang keraguan, harus diakui usaha untuk mengekalkan undi Cina kepada Pakatan Rakyat, dilakukan dengan gigih, terutama oleh pemimpin DAP dan KeADILan serta sebahagian pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Di Dun Tenang misalnya, sejak sebelum hari penamaan calon, pemimpin tertinggi DAP dan KeADILan hampir keseluruhannya all-out berkampung di kawasan Cina untuk berkempen.

Usaha gigih mereka menyebabkan MCA begitu tertekan. Akibat dari tekanan itu dengan Presiden MCA, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek terpaksa memainkan sentimen agama dan perkauman untuk mengekalkan undi Cina kepada BN.

Chua merupakan bekas Ahli Parlimen Labis, tempat letaknya Tenang, sebelum memberikan kerusi itu kepada anaknya Chua Tee Yong pada 2008.

Selepas 53 tahun Malaysia merdeka. Pemimpin BN terus menunjukkan kedangkalan dan kebodohan mereka. Soi Lek memainkan isu negara Islam, isu salam lelaki wanita, isu kuasa Melayu-Cina, yang jelas bercanggah dengan konsep 1Malaysia seperti diuar-uarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak

Menakut-nakutkan pengundi dengan menggunakan sentimen agama dan kaum, merupakan suatu taktik jahat yang sudah sebati dengan BN. Umno sentiasa memainkan isu menakutkan-nakutkan orang Melayu, jika tidak undi Umno, Cina akan berkuasa, manakala MCA memainkan isu jika undi Melayu, bermakna mengundi Islam, sekaligus beliau mahu menyatakan bahawa bila Islam kuat, Islam akan menindas kaum Cina.

Antara petikan kata Soi Lek yang dipaparkan oleh akhbar The Star milik MCA adalah:

i. 'Chua: Don't risk it on PAS'

ii. "Labis: A vote for PAS means endorsing its Islamic state concept and once given the support, even the DAP would be unable to influence the party or protect Chinese interests, MCA president Dr Chua Soi Lek said."

iii. "Such an endorsement would bring the dream of PAS – turning the country into an Islamic state – a step closer to reality,' he said when addressing devotees of the Teng Toh Tong temple here yesterday."

iv. "The PAS brand of Islamic state would paralyse development in the country because their priority is to get people to base their lifestyle on what they (PAS) think is proper,' he said."

v. "Apart from this, Dr Chua added, PAS rule would derail the 1Malaysia concept where all Malaysians, irrespective of race and religion, would be taken care of in the country's development."

Akhbar The Star walaupun ia milik MCA, jarang menunjukkan belang mereka sebagai peneraju kempen rasis seperti Utusan Malaysia. Umumnya kaum Cina sangat marah kepada Utusan Malaysia kerana sering memaparkan sentimen perkauman yang melampau.

Dalam hal ini, laporan The Star sepanjang kempen PRK Dun Tenang, menunjukkan mereka juga sudah diresapi trend Utusan Malaysia.

The Star tidak lagi dilihat balance, sebalik boleh menimbulkan sentimen rasa tidak senang hati pembaca Melayu-Islam.

Apapun kesemua hujah Soi Lek ini, boleh dibalas dan dimatikan dengan mudah.

Bercakap soal risiko kepada kaum Cina. Risiko sebenar tidak datang dari PAS atau Pakatan Rakyat. Hakikat yang Soi Lek dan MCA tidak boleh nafikan ialah, risiko sebenar yang kaum Cina hadapi adalah ancaman daripada Umno-Perkasa-Utusan Malaysia.

Sejak Mac 2008, hingga ke Konvensyen BN 5 Disember lepas, MCA, Gerakan dan parti-parti Cina lain, tidak habis-habis bertegang urat dengan Umno-Perkasa dan Utusan Malaysia.

Soi Lek cuba memperbodohkan pengundi Cina, bahawa jika mengundi PAS bererti mengundi negara Islam dan DAP gagal mempertahankan kepentingan kaum Cina.

Soi Lek tidak harus lupa bahawa MCA dan lain-lain komponen BN, termasuk beliau sendiri, mengutuskan memo kepada PM Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, menolak negara Islam ala Umno.

Apakah mengundi calon Umno, bermakna kaum Cina sudah memperakui negara Islam Umno-Perkasa? Apakah selama ini MCA benar-benar berjaya memperjuangkan kepentingan kaum Cina?

Hakikatnya, jika MCA berjaya berperanan, kaum Cina tidak akan menyokong Pakatan Rakyat.

Selaku Presiden MCA, Soi Lek terus menunjukkan kedangkalannya menolak negara Islam, bukan soal ia datang PAS sahaja.

Apakah Soi Lek buta realiti? Apakah Soi Lek cuba memberi amaran kepada Umno-Perkasa yang mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam.

Isu yang Soi Lek mainkan di Dun Tenang sebenarnya tidak menjejaskan PAS atau Pakatan Rakyat. Malah ia semakin menambah jurang hubungan MCA dengan Umno.

Soi Lek juga menggunakan hujah kuno kononnya mengundi PAS akan membawa kepada kepincangan ekonomi.

PAS menerajui Kelantan sejak lebih 20 tahun. Pernahkah Kelantan ketinggalan dari segi ekonomi? Pernahkah rakyat Kelantan, khususnya kaum Cina mati kebuluran?

Hakikat yang Soi Lek dan kaum Cina tidak boleh nafikan ialah, ekonomi dunia akan lumpuh jika tidak didokong oleh sistem ekonomi Islam. Perbankan Islam diamalkan secara meluas. Malah bank-bank utama negara yang diterajui kaum Cina, memperakui hal ini.

Mereka turut sama menceburi sistem kewangan Islam yang dilihat lebih praktikal dan mendapat sambutan majoriti rakyat negara.

Lagi bodoh hujah Soi Lek, adalah apabila beliau mendakwa mengundi PAS merosakkan konsep 1Malaysia, di mana semua kaum dan agama, mendapat pelindungan dan seimbang dalam pembangunan ekonomi negara.

Apakah Presiden MCA ini buta atau sengaja buat-buat lupa apakah faktor yang mendorong beliau dan partinya bergaduh dengan Umno-Perkasa?

Mereka bergaduh soal pembahagian kouta menteri yang didakwa dibolot Umno, bergaduh soal diskriminasi terhadap kaum Cina yang diamalkan oleh Umno.

Yang menentang dasar Umno-BN, yang mempertahankan hak bukan Islam, bukan Melayu supaya mendapat keadilan dan kesaksamaan adalah PAS dan KeADILan, selain DAP.

Apakah Soi Lek buat-buat lupa banyak tekanan dan serangan pemimpin Umno terhadap kaum Cina yang diungkap berulang kali seperti:

"Balik China, India, Cina, India semua penumpang saja."
"Kita tidak perlu undi orang Cina, India untuk menang."

Dalam menanggani hasil pengundian di Dun Tenang, tidak kisahlah jika Umno-MCA-BN hendak mendabik dada, bahawa mereka berjaya menang dengan majoriti yang lebih besar.

Dari segi fakta nombor, ya BN menang. Tetapi kemenangan mereka penuh dengan kepalsuan dan dengan cara kempen yang begitu jahat.

Soi Lek tidak harus berbangga dengan kemenangan calon BN. Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar Soi Lek menjawab beberapa 'persoalan sukar' yang dimainkan oleh MCA di Tenang.

"Adakah Chua Soi Lek mempunyai keberanian politik untuk memberitahu Umno bahawa pertambahan sokongan masyarakat Cina (kepada Pakatan Rakyat) bukan kerana hudud atau negara Islam tetapi dasar Pakatan untuk perubahan, keadilan, demokrasi dan kemajuan?

"Atau beliau akan terus menyalahtafsirkan dan meyimpangkan kehendak politik dan harapan pengundi Tenang dengan terus menipu dengan dakwaan palsu bahawa peningkatan 65 peratus pengundi Cina kepada calon Pakatan sebagai menyokong hudud dan negara Islam? soal Kit Siang.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga, membidas MCA dengan mengatakan,ketika MCA bermegah dengan kemenangan di tiga daripada empat kawasan majoriti Cina, Soi Lek  gagal menyedari bahawa hanya 35 peratus memilih BN walaupun tempat itu dianggap taman permainannya sendiri.

Kedangkalan Soi Lek hanya menunjukkan beliau adalah seorang rasis dan berfikiran sempit, sama seperti pemimpin Umno.

Tingkah laku Soi Lek yang memalukan kaum Cina dan MCA ini, dikritik bekas Presidennya Dato' Seri Ong Tee Keat.

Jelas, walaupun memenangi jawatan Presiden MCA dengan sokongan majoriti perwakilan, Chua Soi Lek tidak dapat menghapuskan persepsi rakyat, bahawa beliau adalah pelakon video lucah yang terkenal dalam negara bukan sebagai Presiden MCA.

MCA harus sedar bahawa kebanyakan komen-komen pelayar internet, melabel Soi Lek sebagai 'bapa ayam.'

Seorang 'bapa ayam' hanya layak berlakon dalam video lucah, bukan berada di pentas politik.

Soi Lek nampaknya sudah mengubah nasib MCA. MCA yang selama dikenali sebagai Malaysian Chinese Association sudah dilabel Malaysian Chicken Association oleh para pelayar internet.

Kepada rakan-rakan dalam MCA, penulis tujukan soalan berikut:

"Lu mau jadi parti cap ayam kah? Lu tarak malu kah? Gua malu loo. 

Keghairahan PAS membawa padah

Oleh Zulkiflee Bakar

MENANG sorak kampung tergadai’, ‘Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ dan bersedialah untuk melupakan kepimpinan ulama serta perjuangan negara Islam.’’
Mungkin itulah yang boleh dikatakan kepada kumpulan pro ulama apabila muktamar tahunan parti itu berakhir hari ini.
Keputusan pemilihan yang diumumkan semalam menyaksikan golongan pro ulama bakal menjadi pengikut sahaja kepada golongan profesional yang menguasai sebahagian besar jawatan yang dipertandingkan.
Ulama turut kehilangan kerusi Timbalan Presiden yang dikuasai sejak tahun 1981 dan tidak mempunyai seorang pun wakil bagi kerusi Naib Presiden manakala bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas pusat hanya ada lapan sahaja wakil mereka di dalamnya berbanding 18 kerusi yang dipertandingkan. Walaupun ketika Muktamar Pemuda di Shah Alam pada Khamis lalu memastikan golongan ulama terus menguasai Dewan tersebut tetapi arus tersebut tidak sampai ke muktamar induk di Gombak.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan seorang ulama kini harus bersedia menghadapi cabaran daripada golongan profesional yang sudah tentulah mempunyai suara majoriti bagi menentukan hala tuju politik parti itu. Biar pun ada yang mengatakan Pas mempunyai Majlis Syura yang boleh memberikan kata putus tetapi kewujudan majlis tersebut buat masa ini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ sahaja.
Jika Majlis Syura benar-benar berfungsi sudah pastilah tidak wujud perebutan jawatan dalam parti tersebut. Bagaimana pula dengan keputusan majlis berkenaan yang merestui perbincangan kerajaan perpaduan diadakan tetapi akhirnya ditentang oleh sesetengah pemimpin Pas sendiri? Sebenarnya, arus perubahan yang berlaku di dalam Pas juga didorong oleh ucapan dasar Abdul Hadi yang begitu bersemangat menghentam UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta begitu teruja menguasai Putrajaya bersama-sama pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Akibat keghairahan tersebut Abdul Hadi terlepas pandang bahawa ucapannya boleh menimbulkan semangat kepada kelompok pro profesional untuk menguasai parti itu. Tindakan Abdul Hadi yang bercakap soal membangunkan negara berkebajikan dilihat meletakkan pemimpin daripada golongan ulama tidak diperlukan lagi kerana Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam.
Malahan keterujaan Abdul Hadi mahu Pas menjadi sebuah parti yang cukup kuat bagi menghadapi pilihan raya umum turut mempengaruhi perwakilan untuk memastikan golongan profesional memikul tanggungjawab itu.
Lemah
Sebelum ini ulama-ulama di dalam Pas telah digambarkan sebagai kelompok yang lemah dan tidak bermaya untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu bagi memastikan impian Abdul Hadi tercapai maka beliau diberikan satu barisan kepimpinan yang kononnya paling sesuai untuk melaksanakan perjuangan tersebut. Ia bermakna selepas ini golongan ulama tidak akan mempunyai apa-apa kuasa atau peranan lagi selain hanya menurut sahaja apa juga strategi yang disusun oleh golongan profesional.
Jika dalam ucapannya Abdul Hadi menganggap ulama yang menyebelahi UMNO tidak mampu menterjemah kefahaman Islam mengenai politik semasa, bagaimana pula dengan ulama Pas? Apakah mereka benar-benar memahami politik sehingga tidak mampu berkompromi sesama mereka bagi memastikan undi tidak pecah dan orang lain mengaut keuntungan? Sebenarnya Pas yang gagal mendidik ulamanya untuk memahami politik semasa sehinggakan kesempatan itu diambil oleh golongan profesional mengatur strategi bagi memperluaskan penguasaan mereka.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden kerana gagal memainkan peranan menasihatkan anak saudaranya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menarik diri bagi mengelak undi ulama berpecah. Semua orang tahu bagaimana hubungannya dengan penyandang jawatan tersebut, Nasharudin Mat Isa.
Nik Abdul Aziz tidak menyukai Nasharudin yang dikaitkan dengan usaha menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO biarpun ia demi perpaduan Melayu dan umat Islam. Sebab itulah pada 20 Mei lalu, Nik Abdul Aziz mengakui bahawa beliau sudah mempunyai calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden. Walaupun enggan menyebut nama calon itu tetapi semua orang pasti bahawa calon tersebut bukannya Nasharudin.
Beliau juga sudah tentu tidak merujuk kepada Mohamad Sabu yang dipertahannya habis-habisan apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah tersebut didakwa atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Kota Bharu suatu ketika dulu. Ia kerana Nik Abdul Aziz berpesan kepada perwakilan supaya ‘‘mengambil kira orang yang dipilih layak memimpin umat Islam dengan tingkah laku dan kata-kata.’’
Sebagai seorang yang pernah berkata bahawa seseorang pemimpin itu hanya boleh ditukar atau digantikan jika melanggar hukum syarak dan melakukan dosa besar, Nik Abdul Aziz boleh memainkan peranan menasihatkan Tuan Ibrahim menarik diri. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak mahu berbuat demikian kerana yakin perwakilan akan memahami isyarat yang beliau berikan, kesudahannya golongan ulama berputih mata berikutan kekalahan Nasharudin dan Tuan Ibrahim.
Sandiwara
Seperkara lagi walaupun ada pemimpin Pas menafikan dakwaan bahawa calon-calon yang menang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kenyataan itu boleh dianggap sandiwara sahaja. Ini kerana ada antara mereka yang dipilih mempunyai cara dan corak berpolitik seperti Anwar dan boleh dikategorikan sebagai ‘political animal’. Malah mereka juga sanggup membela Anwar bermati-matian dan turun naik ke mahkamah demi menyokong Anwar. Dan berdasarkan kepada barisan yang terpilih jelaslah harapan untuk melihat Pas tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP sudah berkubur. Apatah lagi, Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya begitu mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan dan menganggap seolah-olah Malaysia akan menjadi negara terbaik di muka bumi Allah ini kalau pembangkang memerintah.
Jika dikaji seorang demi seorang pemimpin-pemimpin yang terpilih mereka tidak boleh menafikan sebahagian besar mereka bukan sahaja rapat dengan Anwar malah sentiasa sahaja bersama-sama menyokong agenda politik PKR dan DAP. Lebih daripada itu, ada antaranya tidak membawa akhlak sebagai pemimpin dari sebuah parti Islam tetapi tetap dipilih oleh perwakilan atau sebelum ini dicalonkan di peringkat akar umbi.
Semua itu berlaku kerana Pas semakin terhakis jati dirinya dan ini diakui sendiri oleh beberapa penyokong Pas yang menghubungi penulis sebaik sahaja keputusan pemilihan diketahui. ‘‘Inilah akibat jika pemimpin dan ahli Pas berkawan rapat dengan Anwar, PKR dan DAP. Sebahagian mereka sudah ‘mewarisi’ corak politik pemimpin dan kelompok tersebut serta meninggalkan jati diri Pas,’’ kata seorang pemimpin muda kepada penulis.
Justeru kita tidak perlu mengharapkan bahawa Pas selepas ini akan bertindak sebagai sebuah parti yang berpolitik secara berhemah seperti mana diamalkan oleh golongan ulama sebelum ini. Sebaliknya akan berhadapan dengan sekumpulan pemimpin yang akan ‘memusuhi’ BN dan UMNO habis-habisan serta mengalakkan rakyat turun ke jalanan kononnya bagi memperjuangkan demokrasi.
Apa yang mengecewakan pemimpin dan ahli Pas sengaja menolak peringatan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr.Harun Taib supaya kepimpinan Pas tidak menghilangkan identiti serta jati diri Islam yang dijunjung sekian lama hanya kerana terlalu ingin merai kehendak pihak tertentu terutamanya rakan komponen dalam pakatan pembangkang. Tetapi peringatan itu bagai menjirus air ke daun keladi, impian ke Putrajaya yang diuar-uarkan oleh Anwar sudah mempengaruhi nafsu politik sebahagian ahli-ahli Pas sehingga mereka melihat kalau Pas tidak mengukuhkan kerjasama dengan PKR dan DAP maka impian mereka tidak akan tercapai.
Kesudahannya mereka memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat benar-benar komited untuk mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan, biar pun selama ini Pas dilihat hanya menjadi ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’ sahaja. Malahan Abdul Hadi sendiri sudah diramalkan selepas ini tidak akan mempunyai ‘kekuatan lagi’ bagi menghalang ombak penguasaan politik oleh puak-puak yang ‘berkiblatkan’ Anwar di dalam Pas. Segalanya kerana kesilapan Presiden Pas itu sendiri yang sudah seolah-olah sudah memberi restu kepada ‘kehadiran ombak’ itu melalui ucapan dasarnya.