Selasa, 17 Mei 2011

Memahami politik kaum Cina

Oleh DR. RIDHUAN TEE
PILIHAN raya Dewan Undangan Negeri Tenang telah pun berakhir. Prestasi Barisan Nasional (BN) lebih baik berbanding tahun 2008, terutama peningkatan undi Melayu. MCA mengatakan undi Cina kepada BN meningkat. Sebaliknya DAP pula mendakwa sebaliknya. Pengaruh MCA dikatakan semakin merosot kalangan masyarakat Cina. Siapakah yang berkata benar? Buatlah post-mortem dan kajian, daripada bercakap kosong bagi menunjukkan seolah-olah kita bagus atau boleh buat kerja.
Apa pun, pada saya sama ada undi Cina terhadap BN meningkat atau merosot tidaklah penting sangat, kerana amalan demokrasi membenarkannya. Rakyat bebas memilih parti yang disukainya. Cuma yang amat menyedihkan adalah cara berpolitik dengan memberi tekanan atau mengugut kerajaan.
Ketika kempen pilihan raya tersebut berlangsung, Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Johor, Hua Zong, yang turut disokong oleh MCA, memberi kata dua kepada kerajaan supaya membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina di Segamat. Jika tidak, orang Cina akan beralih arah atau tidak mengundi BN. Ugutan ini seolah-olah menampakkan selama ini mereka mengundi BN. Apakah benar?
Saya berani mengatakan bahawa majoriti Cina tidak mengundi BN. Tidak perlu buat kajian, lihat jumlah undi yang diperolehi oleh BN di kawasan bandar selama ini. Kenapa DAP terus dan begitu mendominasi?
Taktik mengatakan bahawa orang Cina tidak akan mengundi BN adalah taktik basi. Ini bukanlah kali pertama persatuan ini mengamalkan taktik licik sedemikian. Mereka akan mencari seribu alasan, menggunakan segala ruang dan peluang untuk menambah sesuatu yang telah pun mereka dapat. Malangnya, kajian tidak dibuat, kita terus tunduk kepada tuntutan dan desakan.
Rukun
Sebelum saya menulis lebih lanjut, eloklah sama-sama kita memahami tiga rukun atau sangga utama yang menjadi pegangan masyarakat Cina atau perjuangan hidup matinya. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirkan bersama. Apa yang penting, bagaimanakah kita boleh memanipulasikan rukun-rukun ini untuk sama-sama menjayakan gagasan 1Malaysia.
Rukun pertama adalah mempertahankan pendidikan Cina. Melibatkan 1,300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negara. Sudah tentu jumlah sekolah ini akan bertambah dari tahun ke tahun. Menurut badan penyelidikan MCA (INSAP), perjuangan pendidikan Cina oleh orang Cina sama seperti perjuangan menegakkan Islam oleh orang Melayu.
Rukun kedua, mempertahankan penerbitan akhbar Cina yang melibatkan enam akhbar harian di Semenanjung dan lapan di Sabah Sarawak. Akhbar bahasa Cina adalah akhbar yang paling banyak dalam pasaran berbanding akhbar bahasa lain, termasuk akhbar berbahasa Melayu. Kenapa bahasa Melayu kurang dibaca oleh bukan Melayu, jawablah sendiri, tepuklah dada?
Manakala, rukun ketiga mempertahankan persatuan-persatuan Cina (Huatuan). Melibatkan lebih 8,000 buah persatuan seperti persatuan rumah ibadat, puak (clan) dan bahasa, persatuan politik dan pendidikan, persatuan perniagaan dan perdagangan. Dalam banyak-banyak persatuan ini yang paling berpengaruh bukannya parti-parti politik mereka, tetapi adalah persatuan bahasa dan pendidikan, seperti Hua Zong, Dong Zong dan Dong Jiao Zong.
Ketiga-tiga rukun ini majoritinya mempengaruhi orang Cina di Malaysia dan tidak boleh disentuh. Mereka bersatu dan berpadu jika hak mereka tergugat. Sesiapa yang mengkaji proses sosialisasi politik, agen-agen ini amat berpengaruh dalam membentuk persepsi dan pendirian seseorang. Hasil sosialisasi inilah yang telah melahirkan bentuk masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini.
Bukan Melayu
Bagi bukan Melayu atau minoriti yang lain, saya percaya, mereka juga berpegang kepada rukun tersebut, tetapi tidaklah sekuat pegangan orang Cina. Misalnya, bagi orang India, agama amat penting pada mereka. Justeru, sensitiviti perlu dijaga.
Begitu juga orang Melayu. Perkara berkaitan dengan Islam, seperti iman dan Islam seseorang, kalimah Allah, Rasulullah, babi, dan sebagainya adalah amat sensitif. Kenyataan Lee Kuan Yew yang mahukan umat Islam supaya tidak berpegang kuat kepada Islam dikira amat sensitif. Kontroversi semakin menjadi bertambah hangat apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong kenyataan tersebut. Pendapat Kuan Yew dikatakan lebih baik daripada perjuangan UMNO yang bersifat nasionalis. Dalam kata lain, pendapat Kuan Yew itu tentang Islam itu betul, perjuangan Melayu dan Islam UMNO itu salah.
Pandangan sebegini perlu dibuat dengan berhati-hati. Seteruk mana pun orang Melayu, mereka amat pantang jika ada seseorang yang mempertikaikan keIslamannya. Kerana bagi orang Melayu tidak kira UMNO atau PAS, agama adalah nombor satu dan tidak boleh diperlekehkan.
Orang Melayu amat sensitif dengan agama, sama seperti sensitiviti orang Cina terhadap bahasa. Dengan sebab itu, sehingga ke hari ini, pemerkasaan terhadap Islam lebih menonjolkan berbanding pemerkasaan bahasa Melayu itu sendiri, walaupun kedua-dua perkara ini jelas termaktub dalam perlembagaan. Pendek kata, agama Islam lebih banyak di arus perdanakan, berbanding kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan.
Malang sungguh kedudukan bahasa kebangsaan ini. Tidak banyak usaha dibuat untuk mendaulatkannya, kerana bagi kita ia tidak penting. Lebih menyedihkan lagi apabila membaca iklan temuduga jawatan. Antara syaratnya mesti fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris.
Maka tidak hairanlah jika bancian penduduk baru-baru ini, membuktikan bahawa penguasaan bahasa Melayu di kalangan orang Cina masih lemah, sehingga terpaksa menggunakan khidmat penterjemah. Semua ini ada kaitan dengan tiga rukun tersebut.
Berbalik kepada tuntutan dan desakan mendirikan sekolah menengah vernakular, pada saya cukuplah dengan sekolah rendah vernakular yang sedia ada dan bertambah dari tahun ke tahun.
Enam tahun dipisahkan sejak kecil adalah suatu jangka masa yang lama untuk mereka mensosialisasikan diri dengan persekitaran selanjutnya. Jika mereka terus berada di sekolah menengah vernakular, apakah sosialisasi begini sihat untuk membina bangsa Malaysia dan menjayakan gagasan 1Malaysia?
Komitmen
Perlu diingat, komitmen kerajaan terhadap sekolah vernakular amat tinggi dan belum pernah dilakukan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri secara telus mengatakan pendidikan vernakular adalah sebahagian daripada pendidikan nasional.
Bermakna, kewujudan sekolah vernakular telah pun diiktiraf. Ia merupakan satu kredit kepada bangsa Malaysia kerana dapat menguasai bahasa Mandarin. Apatah lagi pasaran akan datang akan didominasi oleh pasaran negeri China.
Dilihat dari sudut positif, memang benar ia suatu kelebihan. Namun, pada masa sama, kita perlu tangani pula kesan negatifnya apabila bahasa kebangsaan tidak dikuasai. Malangnya, setiap kali kerajaan bercadang untuk memperkasakan bahasa Melayu di sekolah vernakular, idea ini terus ditentang habis-habisan oleh persatuan tersebut.
Benar, kita akan berkata selama ini pun, sejak kewujudan sekolah vernakular, kita masih tidak berkonflik. Masih berlaku kesepaduan sosial atau social cohesion. Kita hanya bertikam lidah. Masih lagi tidak berlaku parang-memarang atau parang wagging. Dengan maksud, keadaan masih lagi baik.
Persoalan saya, kenapa kita tidak cari jalan untuk mencapai yang terbaik? Bukan maksud saya dengan menghapuskan sekolah vernakular. Tetapi perancangan mesti dibuat, bagaimana sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular dapat berinteraksi?
Saya hanya akan bersetuju dengan pembinaan sekolah menengah vernakular jika benar-benar bahasa Melayu dapat diperkasakan dalam 60 buah sekolah menengah vernakular yang sedia ada. Buatlah kajian akan kesannya terhadap pembinaan negara bangsa. Untuk sementara ini, janganlah terlalu mengugut dan mendesak kerajaan.
Tindakan sebegini akan menyebabkan kaum lain menyimpan rasa dan dendam. Dendam inilah yang akan menjadi bara api perkauman, yang tidak pernah padam. Inilah yang bahaya.
Kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian juga hendaklah berpandu kepada undang-undang. Kita sepatutnya bersyukurlah kerana di kebanyakan negara seperti Jerman, Perancis, Indonesia, Thailand dan sebagainya, mereka mengamalkan konsep keseragaman atau unity is uniformity untuk mencapai perpaduan. Dalam kata lain, 1 Bangsa, 1 Bahasa dan 1 Negara.
Sudah pasti kita tidak dapat melakukannya kerana kita mengamalkan kepelbagaian atau unity in diversity bagi mencapai perpaduan. Bagi kita kepelbagaian merupakan satu kekuatan. Namun, terlalu banyak berbeza pun menimbulkan masalah juga.

Teori domino landa Arab

SETELAH tumbangnya bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 11 Februari lepas persoalan timbul adakah teori domino yang diuar-uarkan sebelum ini akan berlaku?
Sememangnya setelah pengunduran bekas Presiden Tunisia Zine El-Abidin, Hosni menjadi mangsa terbaru kesan kemarahan rakyat. Walaupun perasaan tidak puas hati ini telah bersarang sejak sekian lama namun akhirnya dengan bantuan teknologi maklumat yang menzahirkan penggunaan laman sosial seperti blog, facebook dan twitter.
Dianggarkan purata kadar pengangguran di rantau Arab adalah 12 peratus antara 2005-2008 yang kebanyakannya melibatkan golongan belia yang mencecah 30 peratus.
Kesan domino dikatakan mula merebak menyaksikan Mesir menjadi mangsa. Malah keadaan kini semakin tidak terkawal dan merebak ke beberapa negara di rantau tersebut. Antara negara yang mula terkesan termasuklah Algeria, Iran, Sudan, Bahrain, Libya dan Yemen.
Di Yemen, beribu-ribu penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan pimpinan Presiden, Ali Abdallah Saleh dibubarkan bertempur dengan penyokong kerajaan di Sanaa yang menyertai tunjuk perasaan sempena "Hari Kemarahan" anjuran pembangkang bagi menuntut perubahan.
Pertempuran dilaporkan berlaku selepas sejumlah lelaki bersenjatakan pisau dan kayu memaksa kira-kira 300 penunjuk perasaan menghentikan demonstrasi menuntut pembubaran kerajaan.
Empat cedera termasuk seorang wanita, apabila penunjuk perasaan bertindak balas membaling batu ke arah polis, manakala 10 penunjuk perasaan ditahan, kata saksi.
Gerakan ini dilakukan oleh seorang aktivis Yemen Tawakul Karman yang berikrar akan menggerakkan satu revolusi yang diketuai oleh golongan muda. Beliau merupakan pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai, menyifatkan janji Ali Abdullah Saleh untuk melaksanakan pembaharuan sebagai menyapu 'abu di mata'.
Hasilnya kira-kira 2,000 penunjuk perasaan sebahagian besarnya mahasiswa berarak menuju Dataran Universiti Al-Sabiine terletak berhampiran Istana Presiden, melaungkan slogan-slogan mendesak Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan.
Beliau yang telah berkuasa lebih tiga dekad dan bimbang dengan pergolakan di beberapa negara Arab, telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 2013 dan menyatakan bahawa anak lelakinya tidak akan mengambil alih kerajaan. Beliau juga mempelawa pembangkang untuk berunding.
Pembangkang Yemen mahu jaminan daripada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan menuntut supaya taraf hidup 40 peratus rakyat Yemen yang tinggal dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari ditingkatkan, dengan satu pertiga daripada mereka hidup melarat.
Suasana serupa juga melanda Iran apabila beribu-ribu aktivis pembangkang berhimpun bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir dan Tunisia. Sebuah laman web pembangkang memberitahu, berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam itu.
Laman web tersebut, Kaleme melaporkan, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan beribu-ribu penyokong pembangkang yang berarak menuju ke sebuah dataran di sini.
Sehingga kini lapan orang dilaporkan maut dalam tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama beberapa minggu. Beberapa siri pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan turut berlaku dan berpuluh-puluh lagi ditahan di bandar Isfahan.
Laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dan dianggap mengenang kembali kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.
Meratapi
Di Bahrain pula beribu-ribu penunjuk perasaan dari golongan Syiah berkumpul di ibu negara Bahrain untuk meratapi kematian kedua rakan mereka dalam pertempuran bermula minggu ini.
Beratus-ratus orang berkumpul di perarakan pengebumian Ali Abdulhadi Mushaima yang ditembak mati apabila polis dan penunjuk perasaan bertempur.
Mushaima terbunuh selepas ditembak semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan yang cuba menyekat protes ‘Hari Kemarahan’ bagi menuntut kebebasan dan hak politik lebih luas daripada kerabat diraja yang memerintah Bahrain. Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam pertempuran itu, dua daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan.
Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari golongan Sunah yang memerintah negara tersebut telah meminggirkan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.
Bahrain yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah diperintah oleh kerabat diraja Sunah pimpinan Raja Hamad Al-Khalifa yang menyandang jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting. Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur.
Sheikh Khalifa, ayah saudara kepada Raja Hamad Isa al Khalifa telah mentadbir negara Teluk itu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1971 dan dilihat lebih memberi perhatian untuk memastikan keluarga diraja terus berkuasa dalam menentukan ekonomi dan politik negara ini.
Di Libya pula dilaporkan lebih 30 orang cedera dalam pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan antirejim di bandar raya Benghazi selama beberapa hari. Insiden itu mendorong penyokong pemimpin veteran, Muammar Gaddafi melancarkan demonstrasi prokerajaan di beberapa bandar di negara ini.
Protes itu dilancarkan oleh keluarga kepada 14 orang yang terbunuh dalam satu perhimpunan anjuran golongan berhaluan Islam di Benghazi pada 2006. Mereka berkumpul di luar balai polis untuk menuntut pembebasan peguam mereka, Fethi Tarbel, lapor portal berita dalam talian, Al-Manara. Tarbel yang ditangkap atas sebab yang belum diketahui dibebaskan akibat tekanan daripada keluarga terbabit.
Namun penunjuk perasaan bertambah ramai dan mereka mula melaungkan slogan antirejim seperti 'rakyat akan membanteras rasuah' dan 'darah mereka yang mati syahid tidak akan disia-siakan' sebelum polis bertindak menyuraikan mereka.
Rejim Gaddafi yang memerintah Libya sejak empat dekad lalu berhadapan dengan seruan sekumpulan aktivis di Facebook supaya protes dilancarkan esok, selepas mereka mendapat semangat daripada penyingkiran pemimpin autoritarian di dua negara berjiran, Mesir dan Tunisia.
Di bawah sepanduk 'Intifada 17 Februari: Hari Mogok di Libya', sekumpulan aktivis Facebook yang menggesa rakyat melancarkan pemberontakan mendapat lebih 5,000 pengikut menjelang semalam, manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada hampir 8,000 anggota mempelawa rakyat Libya membanjiri jalan esok 'pada hari kemarahan terhadap rasuah dan nepotisme'.
Perkara sama juga berlaku di Algeria apabila kira-kira 2,000 rakyatnya berarak di Algiers bagi mendesak kerajaan Algeria digulingkan. Penunjuk perasaan turut bertindak ganas dengan merempuh sekatan polis hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan.
Mereka mahukan rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan dengan segera ekoran meningkatnya kadar pengangguran dan peningkatan kos hidup.
Melihat kepada apa yang berlaku sememangnya rakyat di sana terlalu dahagakan perubahan dan pembaharuan.

PAS perlu ambilalih kepimpinan pakatan dari PKR

Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang, Manek Urai, Galas dan Tenang, banyak pihak telah membuat kesimpulan bahawa sokongan pengundi Melayu kepada PAS telah menurun. Faktor utama yang dikaitkan dengan kehilangan sokongan ini ialah ramai orang Melayu tidak senang dengan pakatan antara PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai parti yang telah banyak berkorban demi pakatan tersebut.

Tanggapan ini telah merunsingkan PAS sehingga terpaksa menganjurkan sebuah konvensyen nasional pada Sabtu lepas di Shah Alam, untuk menangkis tanggapan tersebut. PAS seolah-olah menerima kenyataan bahawa sokongan orang Melayu telah menurun. Respon PAS kepada isu tersebut berkisar kepada manipulasi media arus perdana milik UMNO/BN. Media arus perdana dituduh sebagai pencacai untuk melemahkan persafahaman antara PAS dan DAP.

Benarkah sokongan orang Melayu kepada PAS telah menurun?

Daripada kajian terperinci keputusan-keputusan PRK kebelakangan ini dan jika dibandingkan dengan keputusan PRU-12 sebagai kayu ukuran, nyata sokongan orang Melayu kepada PAS tidak berubah. Yang ketara ialah sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat telah merudum. Pengundi-pengundi Melayu yang memilih PAS pada PRU-12 masih mengundi PAS pada PRK-PRK tersebut. Akan tetapi ramai pengundi Melayu, terutama pengundi ‘atas pagar’, yang telah mengundi PR pada PRU-12 telah memberi undi mereka kepada UMNO/BN lantas membawa kepada kekalahan calon-calon PAS di PRK-PRK tersebut.

Jadi, mengapa orang Melayu kian menolak PR?

Kesangsian terhadap persefahaman antara PAS dan DAP bukan faktor utama yang mendorong kemerosotan sokongan orang Melayu kepada PR. Ramai orang Melayu telah menerima realiti tentang perlunya kerjasama dengan DAP untuk menamatkan hegemoni UMNO/BN.

Pengundi-pengundi Melayu terutama yang di atas pagar mula beralih dari menyokong PR kerana bosan dengan permasalahan demi permasalahan yang melanda PKR. Malah ramai penyokong-penyokong tegar PR mula mempersoalkan keberkesanan PKR dalam memimpin pakatan tersebut.

Kredibiliti PKR kian terhakis. PKR dilihat seperti UMNO yang berbaju baru. Insiden seperti wakil-wakil rakyat PKR keluar parti, proses pemilihan parti yang pincang dan kes liwat Anwar Ibrahim telah menyebabkan PKR hilang fokus dalam meneruskan momentum tsunami 2008. Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR juga gagal menyerlah sebagai kerajaan yang berwibawa. Faktor-faktor ini telah membuat rakyat mempersoalkan Anwar yang telah banyak menabur janji tetapi tidak ditunaikan.

PAS, sebaliknya, telah bergiat lebih mantap dan berkesan sejak kejayaan besar pada PRU-12. Aktiviti-aktiviti politik seperti ceramah, forum, konvensyen dan perhimpunan bertambah sejak 2008. Perhimpunan Pemuda PAS di Kedah pada Sabtu lepas berjaya melibatkan 30,000 orang ahli. Kempen-kempen anjuran PAS seperti Kempen Anti Saman Ekor boleh dijadikan sebuah gerakan rakyat. PAS lebih prihatin dengan peranan media baru dan sedang menggembelingkan semua saluran-saluran di dunia siber seperti internet, facebook, twitter dan seumpamanya untuk kegiatan politik. Semua usaha-usaha ini telah meningkatkan sokongan orang Melayu kepada PAS. Hasilnya akan dapat dilihat pada PRU-13 akan datang.

Kejayaan PAS pada PRU-13, walau bagaimanapun, bergantung kepada rakan-rakan dalam PR. Faktor PKR yang telah hilang populariti harus diambilkira. PAS dan DAP terpaksa menggalas bebanan PKR yang bermasalah. Justeru, dalam usaha PR untuk menyaingi BN, PAS dan DAP mesti mengorak langkah untuk mewujudkan lanskap politik nasional yang berpaksikan Pakatan Rakyat yang benar-benar berwibawa.

Secara praktikalnya kita berterima kasih atas sumbangan Anwar dan PKR dalam mengemudi PR, tetapi sudah sampai masanya PAS mengambil alih kepimpinan dari PKR untuk memimpin PR dengan lebih berkesan. PKR harus menerima realiti dan secara berlapang dada untuk berundur demi kesinambungan perjuangan PR.

PAS PARTI MAKI HAMUN

Juak-juak Pas sering melaung bahawa parti mereka mengikut Al-Quran sedangkan cara mereka laungkan itu dibuat dengan cara yang bongkak dan takbur. Ini kerana tujuan mereka laungkan perkara tersebut adalah untuk menidakkan keIslaman kumpulan Islam yang lain yang tidak sealiran kefahaman politik dengan mereka. Sikap takbur dan bongkak yang diamalkan oleh Ulama-ulama Pas sendiri adalah bertentangan dengan kehendak Islam malah amat disukai oleh syaitan.

Untuk menampakan mereka lebih Islam daripada yang tidak sealiran dengan mereka maka mereka sanggup memperalatkan ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran untuk mendapat keuntungan politik di kalangan para Ulama mereka dan pengikut-pengikut mereka terus terpedaya dan menerima bulat-bulat apabila ayat-ayat Allah dibaca didepan mereka tanpa mereka usul periksa kesahihannya. Mereka menterjemahkan ayat-ayat Allah sekerat-sekerat yang mana menguntungkan politik mereka manakala ayat yang sebenar yang tidak menguntungkan mereka telah mereka sembunyikan.
Maksud Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah : 79

“Maka celakalah padahnya kepada sesiapa saja mereka yang menulis kitab dengan tangan mereka (ciptaan mereka sendiri) kemudian mereka berkata ini adalah dari sisi Allah untuk mendapat sedikit habuan, celakalah apa yang mereka tulis dan celaka pula segala usaha mereka”.
 

Manakala maksud Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah : 159 pula

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknatinya”.
 

Justeru, marilah kita mengimbas kembali perkara-perkara yang menyeleweng yang dilakukan oleh Pas seperti di bawah.

1959 – Salahguna ayat 15 surah Saba’ dalam manifesto Pas Kelantan dengan menulis 1/5 daripada seluruh ayat (hujungnya) sahaja dengan tidak ditulis semua dari pangkal ayat. Maksud ayat tersebut mengenai konsep syukur dan pembalasan Allah S.W.T ke atas umat yang kufur dengan nikmatNya langsung tidak diberitahu.

2. 1963 - Seleweng maksud ayat 28 surah aali-Imran dengan mengatakan “Orang Islam yang bekerjasama dengan kafir memerintah negara menjadi kafir”. Hukum ini dibentang dalam kertas putih Kerajaan Malaysia pada 8hb Nov 1984 m/s 8. Tetapi apabila Pas dapat faedah politik dengan bekerjasama dengan DAP (1999) maka Pas keluarkan hokum baru bahawa ianya mengikut contoh Nabi.

3. 1978 - Seleweng maksud asal ayat-ayat 44, 45 dan 47 surah al-Maaidah dengan menghukum penyokong UMNO sebagai kafir kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Tetapo mengapakah Pas yang turut bergabung dalam Kerajaan campuran Kelantan (1973) dan BN 1974 – 1977) tidak pula dihukum kafir bersama..?

4. 1980 - Haji Hadi Awang selewengkan maksud ayat 251 surah al-Baqarah dengan mengatakan “ Kalau Allah tidak menjadikan manusia itu bergaduh, berbalah, berkelahi; nescaya akan risaklah muka bumi…” 

5. 1981 - Haji Hadi Awang membawa hukum “Mati syahid kerana menentang UMNO/BN yang dituduhnya mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir”. Mahkamah syariah dituduh mahkamah THOGHUT, mahkamah iblis dan mahkamah firaun. 

6. 1983 - Pas membuat fitnah kepada perjuangan Kebangsaan Melayu UMNO dengan mengatakan Asobiyyah. Hadis Asobiyyah diselewengkan maknanya; langsung tidak mengikut makna daripada hadis mahupun dari segi bahasa dalam kamus Arab sebenar.

7. 1985 - Haji Hadi Awang berkata di Kg. Raja Besut (29.12.1985), Dewan Ulamak Pas Kedah telah membuat keputusan 14 orang Pas yang mati di Memali (19 Nov 1985) mati syahid. Yang hairannya Ustaz Fadil Noor kata hukum syahid itu tidak dibuat oleh Dewan Ulamak Pas Kedah. Siapakah sebenarnya berbohong.

8. 1993 - Pembohongan dengan Hudud Pas Kelantan. Dr. Mahathir dituduh mengugut Kerajaan Pas Kelantan dan menolak hudud. Empat muka surat kenyataan Dr. Mahathir telah diselewengkan maksudnya. Hudud juga tidak diwartakan oleh Pas. Pas berjanji di dalam Harakah 28.02.1997 akan bawa deraf Hudud ke Parlimen tetapi sehingga kini tidak berbuat demikian… nyata PAS bohong.

9. 1999 - Konsep syukur diubah menjadi tidak perlu berterimakasih kepada manusia. Harakah 05hb Mac 1999 melaporkan Dr. Hatta Ramli AJK Pas Pusat berkata “ucapan terima kasih tidak perlu kepada Kerajaan. Inilah natijah salahguna ayat 15 surah Saba’ untuk kepentingan dalam manifesto pilihanraya sahaja. Maksud syukur dalam ayat tersebut meliputi manusia sudah tidak dipakai lagi. 

Maksud Hadis Rasullullah S.A.W:
Dari Ibnu Abbas r.a, katanya Rasullullah S.A.W bersabda: “Diperlihatkan (Allah) kepadaku neraka. Ketika itu kulihat kebanykkkan isinya terdiri dari perempuan-prempuan kafir”. Ditanya orang kepada beliau “Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasullullah. “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudia dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan saja, lantas ia berkata ‘Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit juapun. (Shahih Bukhari -23) 

Tun Dr.Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri pernah merujuk hadis ini mengingatkan orang-orang Islam supaya hendaklah kita berterima-kasih sesame manusia sebagaimana yang dituntut Islam dan jangan terpengaruh dengan dakyah dan fatwa sesat yang dikeluarkan oleh Ulama Pas. Tetapi sebaliknya juak-juak Pas menuduh Tun Dr.Mahathir menghina Rasullullah.

10. 2000 - Haji Hadi Awang MEMPERMAINKAN HUDUD apabila tidak mengambil sahaja Hudud Pas Kelantan untuk kegunaan di Terengganu ketika ia memerintah. Sebaliknya beliau membuat alasan Hudud jika hendak melaksanakannya perlu melalui proses yang panjang dan dikatakan pula hudud adalah 1 per 10,000 (0.0001) daripada Hukum Allah. Ertinya Hadi Awang yang menolak hudud Pas Kelantan. 

11. Berpura-pura dengan Negara Islam iaitu setelah memerintah Terengganu, Haji hadi Awang berkata perlu masa lama. Sebab itulah ketika DAP menentang Negara Islam, Nik Abd. Aziz membuat pendirian bersyukur kerana DAP menerima PAS walaupun menolak Negara Islam seterusnya bersedia menggurkan slogan Negara Islam. Dalam hal ini Pas sanggup bekerja sama dengan Parti Kafir yang secara terangan menolak Islam.

12. Menyelewengkan definasi konsep kerajaan sekular. Sekular dalam erti memisahkan agama dengan Politik sudah dijelaskan dalam buku kajian Ilmiah Dewab Ulamak Pas Pusat (September 1980). Namun buku tersebut telah ditarik balik selepas diedarkan di Kg. Raja tahun 1981 kerana tidak menguntungkan Pas. Berdasarkan buku tersebut pada muka surat 19 hingga 2, konsep memisahkan agama dengan politik ialah Ketua Negara berlainan agama. Yang demikian Kerajaan Malaysia tidak wujud system pemerintahan secular. Namun demikian konsep secular terus menerus diselewengkan oleh kerajaan Pas Terengganu bahkan menjadikannya sebagai teks ucapan khutbah Jumaat di seluruh negeri Terengganu ketika Pas memerintah.

13. Wang ehsan daripada Kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu dihukum Haram (Harakah 22.01.2001). Apabila kerajaan Pas mengambil pemberian Kementerian Pendidikan kepada 3 institusi pendidikan Terengganu sebanyak RM40 juta dimasukan ke dalam akaun Khazanah kerajaan Negeri maka Pas menyatakan Hukumnya menjadi harus sahaja. Haram bagi Pas hanya untuk orang lain tetapi harus untuk dia. Hukum Allah diperlekehkan.

14. Penyelewengan akidah Pas berterusan apabila amalkan sembahyang 2 imam di dalam masjid dan waktu yang sama di Majsid Gong Pasir sekitar bulan Jun hingga Julai 1982.

15. Bank Islam dikatakan hanyalah kulit, tidak beerti bagi Islam tetapi telah memuji setelah menggunakan wang peruntukan dari bank tersebut.

16. Nik Aziz dalam mempertahankan novel SHIT karya Shanon Ahmad telah sanggup mengucapkan bahawa Allah juga mencarut. Beliau merujuk maksud surah al-Lahab sedangkan dalam ayat tersebut tiada pun bukti ayat mencarut. Beliau juga berkata masih terdapat banyak akat-ayat mencarut di dalam Al-Quran. Mengapa sebelum ini tiada sebarang fatwa dari Ulama-Ulama terdahulu yang membolehkan sesame manusia mencarut? Kenapa isu ini ditimbulkan oleh N.ajis setelah Shanon mencarut dengan menyebut kemaluan ibu Dr. Mahathir di dalam buku karyanya.

Maksud Hadis Attirmidzi – Rs 2/545
Ibnu Mas’ud r.a Berkata: Rasullullah SAW bersabda: seorang mu’min bukan tukang menghina nasab atau memaki atau keji lidah.

H.R Bukhary-Muslim – 10
Termasuk salah satu dosa besar adalah memaki ibu-bapa sendiri. Seorang sahabat bertanya kepada Rasullullah: Adakah mungkin seseorang itu memaki ibu-bapanya sendiri? Rasullullah menjawab: Benar, apabila seseorang itu memaki ibu-bapa orang lain dan orang yang dimaki itu memaki balik ibu-bapa orang itu, bermakna orang yang memulakan itu telah memaki ibu-bapanya sendiri.