Ahad, 23 Januari 2011

Kuasai media tangkis pembohongan Barat

TIDAK siapa boleh menafikan hakikat bahawa negara yang menguasai teknologi, sama ada dari segi ketenteraan atau media mampu menguasai dunia. Berdasarkan penguasaan kuasa besar dunia sejak lama dulu sehingga kini, kita tidak boleh menyangkal kenyataan itu kerana ia ada kebenarannya. Sudah banyak bukti akhir-akhir ini yang mana kuasa besar menguasai teknologi ketenteraan amat digeruni, manakala media pula digunakan untuk tujuan propaganda dan mempamerkan kekuatan mereka.

Mereka juga berupaya membentuk pendapat umum menerusi media yang dimiliki dengan meningkatkan kepercayaan masyarakat dunia bahawa apa yang dilaporkan adalah satu kebenaran, walaupun ia hanya propaganda. Media yang dikuasai mereka boleh melaksanakan propaganda secara tersusun dan terancang untuk mencapai matlamat masing-masing. Lihat saja bagaimana blok Barat ketika ini mendominasi sesuatu isu kerana mereka memiliki kuasa media yang cukup hebat sehingga berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia, termasuk memburukkan imej Islam. Justeru, sudah tiba masanya umat Islam mencari jalan bagaimana mencipta jaringan media berkesan bagi menjelaskan perkara sebenar dan tidak lagi bergantung kepada media Barat.

Umat Islam perlu mempunyai kekuatan, kemahiran dan kebolehan mengendalikan media bagi memastikan bukan saja Islam diberi imej yang positif, malah berupaya menangkis serangan media yang berusaha memburukkan Islam. Gesaan Datuk Seri Najib Razak agar ummah termasuk di negara ini menguasai media memang berasas dan kena pada masanya. Perdana Menteri ketika melancarkan TV AlHijrah di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di Pusat Islam malam kelmarin, mahu segala tanggapan salah mengenai Islam dan umatnya diperbetulkan melalui media.

Pada masa ini, adalah jelas media terutama yang dikuasai Barat diperalatkan pihak tertentu dengan menyiarkan berita negatif terhadap umat Islam. Usaha mereka berjaya menimbulkan kebencian masyarakat dunia terhadap umat Islam dengan melabelkan mereka sebagai ekstremis dan penjenayah. Mereka sentiasa mencari jalan mengaitkan orang Islam dengan jenayah dan keganasan, walaupun sesuatu yang berlaku bukan angkara orang Islam. Isu itu diperbesar dan ditayangkan berulang kali menerusi media milik mereka, tetapi jika pihak lain atau sekutu mereka yang punya angkara ia tidak pula dihebahkan sebegitu rupa.

Semua itu adalah usaha jahat pihak tertentu secara terancang yang sengaja mahu menimbulkan kebencian dan sentimen negatif terhadap Islam. Semua usaha itu berjaya dilakukan hingga timbul istilah Islamofobia yang dicipta sendiri mereka bertujuan menakut-nakutkan masyarakat dunia dengan Islam. Hakikatnya mereka sebenarnya takut dengan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Namun, tidak semua usaha mereka itu berjaya menyekat penyebaran syiar Islam, kerana semakin ramai sejak akhir-akhir ini yang memeluk Islam apabila mereka dapati apa yang digembar-gemburkan itu adalah propaganda Barat semata-mata.

Islam sebenarnya adalah agama yang cintakan keamanan dan menentang sebarang kekejaman termasuk peperangan. Atas alasan itulah amat penting bagi kita sebagai umat Islam menguasai media untuk mematahkan pembohongan yang dilakukan mereka seperti yang disarankan Perdana Menteri. Sukar untuk dinafikan bahawa media berpengaruh sekarang dikuasai oleh bukan Islam terutama media elektronik. Adalah menjadi harapan kita agar TV AlHijrah yang baru dilancarkan dapat memainkan peranan membetulkan segala tanggapan buruk terhadap Islam dan umatnya.

Hasad Dengki

Hasad dengki sebenarnya ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal daripada bahasa Arab iaitu al-hasad. Orang yang mempunyai sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya.

Dalam bahasa Melayu, perkataan 'dengki' digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud: "Kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang amat sangat." Jadi, hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan."

Dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1.
Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2.
Berasa Diri Mulia.
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3.
Takbur.
Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4.
Ujub.
Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5.
Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.
Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6.
Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.
Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7.
Busuk Hati.

Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.

Walau bagaimanapun dalam Islam terdapat dua perkara yang dibenarkan hasad. Jenis hasad ini dipanggil sebagai 'ghibtah' iaitu iri hati dengan kejayaan dan kemampuan seseorang lalu dia cuba bersaing secara sihat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati) kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap malam dan siang" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang yang hasad dengki telah menentang Allah SWT dalam 6 perkara

Seorang cendikiawan berkata: ” Orang yang  memiliki perasaan hasad dengki  telah menentang Allah s.w.t. dengan lima perkara  iaitu:
  • Kerana dia membenci nikmat Allah s.w.t. yang telah diberi kepada  orang lain.
  • Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah dia berkata: “Mengapa Engkau bagiku  benda seperti ini ?”
  • Dia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.
  • Dia menghina waliyullah (kekuasaan ) sebab dia ingin mencabut nikmat Allah s.w.t. yang telah diberikan kepadanya.
  • Dia telah membantu  iblis laknatullah.

Isu kontrak sosial cabar kuasa politik Melayu

JEAN-Jacques Rousseau mendewakan teori kontrak sosial pada abad 18 kerana kecewa dengan sikap istana dan paderi yang mengongkong fikiran rakyat. Rousseau mendesak masyarakat Perancis diberi keadilan, mempunyai jati diri dan hak asasi.
Bagi masyarakat yang matang, kontrak sosial adalah penawar untuk membendung perhambaan sesama manusia yang wujud sejak zaman jahiliah. Sebelum Rousseau mempengaruhi pemikiran Revolusi Perancis (1789-99), ahli falsafah British – Thomas Hobbes dan John Locke juga mengemukakan teori kontrak sosial pada abad 17. Mereka tidak senang melihat telatah feudal yang menguasai rakyat. Tindakan buruk istana sering dikaitkan dengan agama, kononnya tuhan (bagi pengikut Kristian) menyeru manusia taat kepada istana dan tidak mempertikaikan salah laku Raja. Raja bebas melakukan apa saja. Menentang keputusan istana dianggap berdosa kerana tidak patuh kepada arahan tuhan.
Sejak berkurun, manusia ditindas jiwa mereka. Segala urusan keperibadian tidak wujud kerana rakyat diarah setia kepada sistem feudal dan penguasa agama yang memperalatkan kedudukan mereka. Menjelang abad ke-20, teori kontrak sosial menjelajah hampir ke seluruh dunia. Ketika banyak institusi istana runtuh dan diganti sistem demokrasi mahupun ketenteraan dan republik, kontrak sosial menjadi jaminan mengikat hubungan antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah diberi mandat menerusi peti undi dan sepatutnya menjalankan tugas meningkatkan prasarana, taraf ekonomi,
sosial dan kesihatan di wilayah di bawah pentadbiran mereka.
Rakyat pula perlu setia kepada negara, bertugas dan membantu kerajaan memajukan sesebuah wilayah. Sistem perundangan dan perlembagaan digariskan supaya semua pihak membantu negara. Rakyat juga berhak menentukan sesebuah kerajaan, atau digulingkan melalui proses pengundian pada pilihan raya akan datang.
Teori kontrak sosial tidak pernah membezakan rakyat dari segi kaum, agama dan status sosial. Persamaan ini dianggap oleh pejuang demokrasi sebagai asas membangunkan sistem siasah tulen di sesebuah negara.
Bagaimanapun isu kontrak sosial sering diperkatakan selepas keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Ia mempunyai citra tersendiri kerana pelbagai pihak menafsir dari sudut berbeza. Ada yang mendakwa kontrak sosial wujud ketika negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 memberi hak sama rata kepada rakyat pelbagai kaum.
Ada yang mendakwa bangsa Melayu, Cina, India dan kaum lain setaraf dari segi perlembagaan. Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan menggariskan: Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Bagaimanapun hak istimewa bangsa Melayu yang tercatat pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukan dianggap sebagai hak (rights) tetapi keistimewaan (privileges).
Jika tafsiran ini dianggap benar, tentunya bangsa Melayu tidak boleh mendabik dada dengan istilah hak istimewa yang dimiliki. Bangsa Melayu perlu sedar nasib bagai telur di hujung tanduk di negara asal usul moyang mereka. Perpecahan dan kurang penguasaan dari segi ekonomi, politik dan sosial menjejaskan masa depan Melayu sendiri.
Isu kontrak sosial bagai menafikan hak keistimewaan Melayu. Sistem merit memberi keutamaan kepada kecemerlangan secara terbuka tanpa membabitkan isu kaum dan agama. Bangsa yang tertinggal bakal dipinggirkan oleh sejarah di negaranya sendiri. Sistem kuota yang dikaitkan dengan hak Melayu tidak lebih daripada slogan politik kepartian.
Ada pengamal undang-undang menafsirkan hak istimewa Melayu bukan bermaksud hak ketuanan Melayu. Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut ketuanan Melayu. Istilah ketuanan Melayu hanya dicipta dalam bentuk siasah untuk mengekalkan kuasa. Ia tidak dicatat dalam mana-mana peraturan, justeru, tindakan mengungkapkan ketuanan Melayu secara terbuka dianggap tidak mematuhi semangat pembentukan Malaysia.
Dari segi sejarah, ungkapan ketuanan Melayu muncul pada 1966 apabila seorang timbalan menteri berucap pada satu majlis di Singapura. Ucapannya kurang mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra kerana ia tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya pada 1987 isu ketuanan Melayu dibangkitkan semula apabila ada pihak mempertikaikan hak istimewa Melayu secara terbuka. Pada masa sama juga sudah ada pihak berani mengemukakan cadangan menyaman seorang Sultan yang dikatakan kerap mengganggu pentadbiran di sebuah negeri.
Kemelut secara terbuka itu menyebabkan suhu politik negara menjadi panas dan akhirnya memaksa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987. Seramai 106 ahli politik ditahan dan permit penerbitan akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung. Bagaimanapun isu kontrak sosial tidak pernah reda daripada diperkatakan. Ia mungkin senyap seketika dan kembali bergema setiap kali ada pihak merasakan Melayu semakin lemah di negaranya sendiri. Kontrak sosial muncul pada 1987 ketika dua kumpulan bergeser merebut jawatan Presiden UMNO.
Pada 1998, isu kontrak sosial mengiringi gerakan reformasi apabila seorang tokoh siasah didakwa di mahkamah kerana kaitan salah laku seks dan rasuah. Isu sama juga muncul kini kerana ada pihak berani membuat sembah derhaka dan institusi istana dianggap tidak relevan. Selagi ada pihak berasakan hak mereka tidak dipedulikan atau perlu diperjuangkan, selagi itulah isu kontrak sosial menjadi mantera lunak di pentas politik.
Kewarasan berpolitik sering diketepikan apabila isu kontrak sosial diperkatakan dengan pelbagai niat. Ada pihak berani mempertikai kuota ekonomi Bumiputera dan status syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semata-mata kerana cita-cita siasah. Kontrak sosial sudah menjadi keramat hidup yang menghantui ahli politik di Malaysia!

Berakhirkah Kuasa Politik Melayu?

PADA 1946, UMNO ditubuhkan, ketika itu semua orang Melayu boleh dianggap berada dibawah payung parti berkenaan. Namun penyatuan itu tidak lama apabila terwujud Pas pada tahun 1951 selepas berlaku perpecahan di dalam UMNO, ertinya orang Melayu sudah berpecah kepada dua kumpulan.
Buat seketika pertelingkahan politik di kalangan orang Melayu hanya berkisar kepada dua parti ini sahaja, satu pihak menyokong UMNO dan satu pihak lagi menyokong Pas tetapi hakikatnya Melayu sudah berpecah. Penyatuan antara kedua-dua partinya hanya berlaku seketika pada awal tahun 70-an sebelum Pas sekali lagi membawa diri. Melayu kembali berpecah.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku lagi krisis dalam UMNO. Kali ini ia mewujudkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46), walaupun tidak lama berada dalam persada politik tanah air namun kehadiran S46 turut memecahkan undi Melayu.
Bagaimanapun keadaan agak tenang seketika apabila S46 dibubarkan dan ramai kembali kepada UMNO tetapi pertarungan politik antara parti itu dengan Pas berterusan.
Ketika UMNO dan Pas masih lagi teraba-raba mencari titik pertemuan, tercetus pula krisis ketiga dalam UMNO yang 'melahirkan' Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Berbanding perpecahan-perpecahan Melayu sebelum ini, kewujudan PKR ternyata semakin melemahkan kuasa politik Melayu. Orang Melayu yang sudah terbahagi kepada dua puak kini menjadi tiga puak dan ia belum lagi mengambil kira puak keempat iaitu atas pagar.
Akhirnya, walaupun menjadi penduduk majoriti di negara ini, kuasa politik Melayu semakin lemah. Malangnya kelemahan itu tidak menguntungkan UMNO, Pas mahupun PKR, sebaliknya parti-parti bukan Melayu yang lain.
Apa yang berlaku di Pulau Pinang dan di Perak (selama 11 bulan) seharusnya memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa kuasa politik mereka boleh lenyap bila-bila masa atau kalau pun mempunyai jawatan, mereka perlu mengikut telunjuk orang lain kerana kekurangan jumlah kerusi.
Di Pulau Pinang, walaupun DAP berkongsi kuasa bersama-sama dengan Pas dan PKR tetapi DAP tidak pernah peduli perasaan orang-orang Melayu dalam kedua-dua parti tersebut. Sebab itulah pelbagai tindakan dilakukan termasuk merobohkan kampung-kampung orang Melayu.
Begitu juga di Perak, walaupun sedikit sebanyak orang-orang Melayu di dalam Pas dan PKR membantu kemenangan calon DAP sehingga mereka mampu memiliki kerusi terbanyak di negeri itu, tetapi ketika menjadi kerajaan negeri, DAP tidak pernah mengambil kira pandangan Pas dan PKR. Menteri Besar yang dilantik hanya mengikut sahaja apa yang DAP arahkan.
Sedangkan kalau UMNO dan Pas bekerjasama mewujudkan kerajaan perpaduan, senario 'mengikut telunjuk' tersebut tidak akan berlaku. Ini memandangkan UMNO mempunyai 28 kerusi dan Pas enam kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya 34 kerusi.
Di Kedah, walaupun Pas memerintah tetapi talian hayat kerajaan negeri tetap bergantung kepada tiga ADUN bukan Melayu daripada PKR.
Di Selangor, Menteri Besarnya, bukan sahaja bergantung kepada DAP untuk terus kekal sebagai kerajaan negeri malahan harus mendapat sokongan ADUN bukan Melayu dalam PKR untuk kekal berkuasa.
Kecuali di Kelantan dan Terengganu yang bakal terus menyaksikan pertarungan antara parti-parti orang Melayu, di negeri-negeri lain, kuasa politik Melayu semakin berkurangan.
Berikutan perpecahan yang berlaku kuasa politik orang Melayu di Parlimen juga semakin lemah. UMNO yang diharapkan menjadi sandaran orang Melayu semakin 'nipis' jumlah kerusinya di Parlimen. Parti itu hanya menguasai 78 kerusi. Kita tidak boleh berharap bahawa kepentingan Melayu akan turut dikongsi oleh semua ahli Parlimen Pas kerana sebahagian besar mereka lebih taksub 'memuja' Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kelompok ini agenda mereka hanya ingin mendapat kuasa bersama-sama DAP. Kesudahannya UMNO bergantung kepada ahli Parlimen bebas yang keluar PKR dan sedikit sokongan daripada Pas agar agenda Melayu tidak diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.
Namun persoalannya sekarang, apakah akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang.
Pelbagai analisis dan kajian yang dibuat oleh sesetengah pihak berkecuali (non partisan) mendapati, kuasa politik Melayu tidak mustahil akan luntur daripada persada politik tanah air.
''Masih ramai ahli politik Melayu leka dan tidak sedar bahawa ada bahaya yang sedang menanti dalam pilihan raya umum akan datang. Situasi ini jika dibiarkan boleh memungkinkan kuasa politik Melayu akan berakhir.
''Jika ini terjadi ia bukan sahaja akan merugikan UMNO semata-mata tetapi juga Pas di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta ahli politik PKR yang masih kukuh idealismenya dalam perjuangan untuk bangsa, agama dan negara," kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis ketika dihubungi.
Persefahaman
Sememangnya, ketika orang Melayu masih belum mampu mencapai persefahaman hatta dalam soal mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam sekali pun, parti-parti politik bukan Melayu bukan sahaja semakin mengukuh cengkaman mereka di sesetengah negeri dan kawasan malahan mula mengatur gerakan membuat tuntutan demi tuntutan untuk kepentingan kaum mereka.
Seperti mana kata seorang lagi pemimpin UMNO, walaupun mereka sedari ada kalanya tuntutan mereka adalah melampau dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan orang Melayu tetapi mereka tidak mempedulikannya. Mereka ingin menonjolkan diri menjadi juara kepada kaum sendiri.
Puak-puak ini amat memahami bahawa politik Melayu berada di dalam keadaan lemah.
Walaupun terdapat tiga parti politik yang diterajui orang Melayu tetapi mereka tidak mampu bersatu hati. Ini berbeza dengan amalan politik parti-parti bukan Melayu, mereka akan sepakat dalam soal berkaitan kaum mereka.
Tetapi orang Melayu, kalau UMNO bercakap soal kepentingan Melayu, sebahagian puak-puak di dalam Pas dan PKR akan menuduh UMNO rasis dan mengamalkan politik perkauman tetapi mereka tidak pula menyerang parti-parti bukan Melayu yang memperjuangkan hak kaum mereka secara keterlaluan.
Ketika ini pembangkang yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Pas begitu yakin bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), mereka akan menguasai Putrajaya dan sudah ada congak dibuat bahawa beberapa negeri lagi akan jatuh ke tangan mereka.
BN terutamanya UMNO tidak boleh merasa selesa bahawa negeri yang mereka pegang sekarang akan berkekalan. Apa yang terjadi kepada Selangor adalah contoh terbaik. Tidak mustahil keadaan ini boleh berlaku di negeri-negeri lain pula seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, jika UMNO terus leka.
Hakikatnya, kita menghormati proses demokrasi yang mana rakyat memilih siapa yang mereka mahukan tetapi persoalannya apakah akan berlaku kepada kuasa politik orang Melayu? Mampukah PKR yang pemimpinnya terlalu kemaruk kuasa mengimbangkan kekuatan DAP? atau mampukah Pas bersuara bagi membolehkan mereka menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?
Bagaimana pula dengan UMNO, beranikah parti itu mengambil semula kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu tetapi sebelum ini diserahkan kepada komponen BN yang lain untuk bertanding atas dasar setiakawan? Mampukah UMNO dan Pas menambah kerusi dalam Parlimen bagi memastikan suara orang Melayu dan umat Islam terus kedengaran dan hak mereka tidak diperkotak-katikkan?
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah memberikan isyarat mengenai bahaya yang menanti orang Melayu kalau mereka terus berpecah dari segi kuasa politik, begitu juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah berkali-kali mengingatkan bahawa kuasa politik yang dipegang orang Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah-belah.
Mengekalkan kuasa politik Melayu bukanlah bermakna kita hendak menganiaya atau mengetepikan hak kaum lain. Selama 53 tahun memerintah Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggak kekuatannya sudah membuktikan bahawa nasib kaum bukan Melayu sentiasa dipelihara dan terbela.
Pengekalan kuasa politik Melayu juga bertujuan untuk memastikan kaum bukan Melayu tidak terjebak dalam permainan politik sempit yang boleh memudaratkan keharmonian di negara ini.
Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa masa depan kuasa politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Pas. Orang Melayu tidak boleh berharap kepada PKR. Bagi pemimpin-pemimpin PKR mereka akan melakukan apa sahaja asalkan boleh mendapat undi. Cukuplah kedua-dua parti itu bertelagah sejak hampir 60 tahun lalu.
Masanya sudah tiba untuk dua parti besar itu seperti mana kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencari 'kemuncak persamaan' bagi membolehkan mereka duduk semeja berbincang dalam usaha memastikan kuasa politik Melayu tidak lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.
Sekali lagi mungkin akan ada di kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan mendakwa bahawa semua ini agenda untuk menakut-nakutkan orang Melayu atau lebih tepat lagi bagi menyelamatkan kuasa politik UMNO yang dikatakan semakin berkurangan.
Tidak kisah untuk bertelagah berebut kerusi dalam pilihan raya tetapi janganlah sikap 'berlawanan' dalam pilihan raya itu turut diseret ketika kita berhadapan dengan persoalan untuk mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam.
Orang Melayu perlu sedar dan bangkit untuk menyedari bahawa kuasa politik mereka semakin terancam, jika mereka terus bertelagah dalam soal politik. Sama ada UMNO mahupun Pas mereka perlu sedar kalau kuasa politik itu hilang, kedua-duanya akan rugi. Oleh itu mereka harus berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan bagi memastikan di dalam pilihan raya umum nanti kuasa politik Melayu tidak hanya menjadi bahan sejarah!

* Ditulis oleh Zulkiflee Bakar, Mingguan Malaysia

Mengenali Syaitan

 1: Syaitan memiliki kepala.
 2: Syaitan memiliki dua tanduk.
 3: Syaitan memiliki hati, mata dan telinga.
 4: Syaitan memiliki suara.
 5: Syaitan memiliki akal.
 6: Syaitan ketawa.
 7: Syaitan memiliki tangan dan jari.
 8: Syaitan makan dan minum.
 9: Syaitan membuang air kecil.
 10: Syaitan memiliki keturunan.
11: Syaitan memiliki pasukan tenteranya.
 12: Syaitan mencari tempat bermalam.
13: Syaitan dapat bergerak pantas.
14:  Syaitan dapat bergerak dalam badan manusia.
 15: Syaitan dapat mempengaruhi manusia.
 16: Syaitan dapat merasuk manusia.
 17: Syaitan dapat mempengaruhi mimpi manusia.
 17: Syaitan dapat beraktiviti.
 19: Syaitan dapat ditangkap.
 20: Syaitan memiliki waktu kegemaran.
 21: Syaitan memiliki tempat kegemaran.


 1: Menakutkan Umat Islam.
 2: Memperindahkan Perkara Mungkar.
 3: Mempelbagai Jalan Kebenaran.
 4: Janji Dan Angan-Angan Kosong.
 5: Mengubah Ciptaan Allah.
 6: Menjadi Jurucakap Allah.
 7: Memberi Nasihat.


 1: Ikhlas Dalam Beragama.
 2: Takut Kepada Allah.
 3: Jangan Mengikuti Syaitan.
 4: Berjamaah.
 5: Zikir.